Syariat

Zikir Harian: Hari Jumaat Hingga Hari Khamis

Pinterest LinkedIn Tumblr

Zikir harian ini adalah amalan yang diamalkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullahu Taala. Amalan zikir adalah amalan untuk mendidik hati agar sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Zikir ada banyak jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, bacaan al-Quran dan sebagainya. Namun, adalah menjadi matlamat dari semua jenis zikir ini ialah untuk mengingati Allah (dhikrullah).

Amalan zikir mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di antara amalan-amalan yang disyariatkan dalam Islam dan ia adalah satu amalan yang agung.

Allah s.w.t berfirman:

وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Surah al-Ankabut: Ayat 45

Maksudnya:”dan sesungguhnya dhikrullah (mengingati Allah) itu adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.”

zikir harian

1. Zikir Hari Jumaat

يَا اَللَّهُ

Rumi: Ya Allah

Maksudnya: “Ya Allah.

Kelebihan membacanya: Hampir dari rahmat Allah dan jauh dari azab-Nya

2. Zikir Hari Sabtu

لَاإِلٰـهَ إِلاَّ اللَّهُ

Rumi: La-ila hailla’llah

Maksudnya: “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.”

Kelebihan membacanya: Dihapuskan dosa anggota yang tujuh.

3. Zikir Hari Ahad

يَاحَيُّ يَاقَيُّوْمُ

Rumi: Ya Hayyu Ya Qayyum

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Maha Hidup lagi Berdiri Sendiri (tidak perlu kepada pertolongan).”

Kelebihan membacanya: Dipelihara imannya oleh Allah s.w.t

4. Zikir Hari Isnin

لَاحَوْلَ وَلَاقُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ العَلِيِّ الْعَظِيْمِ

Rumi: La hawlawala-quwwata-illabilla-hil-aliyyil-‘aziim

Maksudnya: “Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

Kelebihan membacanya: Dihapuskan sifat-sifat yang tercela.

5. Zikir Hari Selasa

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

Rumi: Allahhummasolli’ala Muhammadin Wa’ala-ali-Muhammadin Wasohbihi Wasallim

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad, keluarganya dan para sahabat.”

Kelebihan membacanya: Dapat syafaat Nabi Muhammad s.a.w pada hari Qiamat.

6. Zikir Hari Rabu

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيْمِ اَلْذِيْ لَاإِلٰهَ إِلَا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Rumi: Astaghfirullahhal-a’zim allazilailaha-i’llallah-huwalhayyuqayyumu-wa atubu ilaih

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung yang tiada Tuhan selain dari-Nya yang Hidup dan Berdiri Sendiri (tidak memerlukan pertolongan) dan aku bertaubat kepada-Nya.

Kelebihan membacanya: Dihapuskan seribu dosa.

7. Zikir Hari Khamis

سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيْمِ

Rumi: Subhana’llah hil’azimiwabihamdih

Maksudnya: “Maha Suci Allah Yang Maha Agung dan segala puji untuk-Nya.

Kelebihan membacanya: Tumbuh tanaman syurga baginya.

Cara beramal

Bagi setiap zikir-zikir ini dibaca 1000x sehari.

Sekiranya tidak mampu untuk mencapai 1000x sehari, maka bermulalah dahulu dengan 100x sehari. Apabila sudah selesa atau sudah boleh beramal dengannya, maka tambahlah bilangan itu kepada 200x atau 300x sehinggalah boleh mencapai 1000x sehari.

Dalam kaedah agama kita ada disebutkan:

Apa yang tidak dapat dibuat semua, maka jangan ditinggalkan semua.

Begitu juga sekiranya ketika berzikir, tetapi hati kita lalai. Maka janganlah sehingga tidak berzikir langsung.

Berzikir dalam keadaan lalai lebih baik daripada tidak berzikir langsung.

Menurut Syeikh Ibn Ataillah al-Iskandari Rahimullah yang bermaksud:

Janganlah engkau tinggalkan zikir hanya kerana gagal menghadirkan hati bersama Allah ketika berzikir, kerana lalai daripada berzikir berlebih bahaya daripada lalai ketika berzikir. Mudah-mudahan (kerana sebab itu) Allah akan mengangkat darjatmu daripada berzikir yang lalai kepada zikir yang sedar.

Syarah Hikam al-Ataiyyah hal. 55 (rujukan)

Akhir Kalam

Semoga kita semua beroleh hidayah dan kekuatan untuk terus beramal dengan zikir harian ini sehingga menjadi wirid harian kita.

Wallahu a’lam.