Syariat

Cara Solat Taubat dan Doa Solat Taubat

Pinterest LinkedIn Tumblr

Solat Taubat atau Solat Sunat Taubat adalah solat sunat yang dikerjakan apabila seseorang itu melakukan dosa atau kezaliman dan ingin bertaubat daripada kesalahan tersebut.

Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.A beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]Riwayat Abu Dawud (1521) (Rujukan)

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w menunjukkan kepada kita yang telah melakukan dosa cara untuk membersihkan diri dari perbuatan tersebut. Iaitu berwuduk dengan sempurna dan mengerjakan solat dua rakaat serta diakhiri dengan istighfar kepada Allah s.w.t.

Cara Solat Taubat

Sebelum mengerjakan solat, pastikan anda berwuduk dengan sempurna.

1. Niat solat sunat taubat

Lafaz niat adalah seperti berikut:

lafaz niat solat taubat
Bacaan rumi: U-shol-lii sun-na-tal tau-bati roka-‘a-tai-ni lillahi ta’aa-laa

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat tunai kerana Allah s.w.t.”

Kemudian, disertai takbiratul ihram dan doa iftitah.

2. Rakaat Pertama: Baca Surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun

Membaca surah al-Fatihah

surah al-fatihah

Kemudian, membaca surah al-Kafirun

surah al-kafirun

Kemudian diikuti oleh rukuk dan sujud seperti biasa.

3. Rakaat Kedua: Baca Surah al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas

Membaca surah al-Fatihah

surah-al-fatihah

Kemudian, dituruti oleh surah al-Ikhlas

surah al-Ikhlas

Seterusnya, rukuk, sujud dan tahiyyat akhir.

Nota: Bacaan surah-surah lain juga boleh dibaca selain surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Terdapat riwayat daripada Ibn Al-Sunni yang mengatakan supaya dibaca surah al-Kafirun dan juga surah al-Ikhlas (rujukan).

4. Selepas Memberi Salam

Selepas seseorang itu selesai menunaikan solat sunat taubat, hendaklah dia melazimi atau memperbanyakkan istighfar kepada Allah s.w.t.

Istighfar boleh seringkas “Astaghfirullah”

أَسْتَغْفِرُاللهَ

Bacaan rumi: Astaghfirullah

atau

أَسْتَغْفِرُاللَّهَ الْعَظِيْمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Bacaan rumi: Astaghfirullahalazim, al lazi laa ilaha illa hua haiya qayyum ma wa atu bu ilaih

atau

Istighfar nabi Adam

َرَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِين

Bacaan rumi: Robbanaa dzolamnaa angfusanaa, waillam taghfirlanaa, watarhamnaa, lanakuunanna minal khoosirin

Bacaan-bacaan istighfar ini tiada hadnya, boleh dilakukan semampu mungkin.

Doa Solat Taubat

Akhir sekali adalah berdoa.

doa solat taubat

Maksudnya:

Aku minta ampun dari Allah. Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada-Nya. Kami menyesal atas apa yang telah kami lakukan.

Dan kami berazam tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut buat selama-lamanya. Dan kami berlepas diri dari segala agama yang bertentangan dengan agama Islam.

Dan kami naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan kami naik saksi bahawa nabi Muhammad pesuruh Allah, selawat dan salam ke atasnya.

Kami redha Allah sebagai tuhan kami. Dan Islam sebagai agama kami. Dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul.

Ya Allah peliharalah ke atas nabi Muhammad s.a.w, keluarganya dan para sahabatnya, semoga selamat sejahtera. Berlakulah lembut dan belas kasihan ke atas kami serta orang-orang yang beriman.

atau sekiranya tidak mampu, bolehlah membaca doa dibawah

doa taubat

Bacaan rumi: Allaahumma annta rabbii laa ilaaha illaa annta khalaq-tanii wa anaa ‘ala ahdika wawa’q dika maas-tathoq-tu a-uudzu-bika min syarrimaa sonaq-tu abuu-u laka bini’q matika alayya wa abuu-u bidzanbi fagh-fir-lii fa-innahu laa yagh-firudz-dzunuuba illaa annta.

Maksudnya:

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku.

Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan.

Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.


Doa solat taubat ini tidaklah wajib bagi versi ini sahaja. Malahan, doa boleh dibaca dalam bahasa melayu atau bahasa yang difahami.

Mohonkan keampunan dan luahkanlah segala kekesalan yang ada di dalam hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Pengampun.

Wallahu a’lam