Syariat

Rukun Nikah Dalam Islam Yang Harus Diketahui Bakal Pengantin

Pinterest LinkedIn Tumblr

Rukun nikah dalam Islam mengandungi 5 perkara. Tanpa salah satu daripadanya, maka pernikahan itu adalah tidak sah.

Matlamat pernikahan adalah untuk mencapai kebahagian hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Nikah juga adalah sunnah. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w.:

ْاَلنِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِيْ فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksunya: “Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.

(Riwayat Ibn Majah)

Rukun Nikah dan Syarat-syarat Rukun Nikah

Rukun Nikah ada 5 perkara iaitu:

  1. Calon suami (pengantin lelaki)
  2. Calon isteri (pengantin perempuan)
  3. Wali
  4. Dua orang saksi lelaki
  5. Lafaz ijab dan kabul (sighah)

Setiap rukun nikah mempunyai syarat-syarat tertentu. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1. Calon Suami

Calon suami hendaklah:

  • Islam.
  • Tentu orangnya.
  • Tidak mempunyai 4 orang isteri (termasuk yang telah dicerai tetapi masih dalam idah).
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Sah kelelakiannya.
  • Tiada halangan untuk berkahwin dengan perempuan yang hendak dinikahi menurut hukum syarak.
  • Sukarela tanpa paksaan menurut hukum syarak.

2. Calon Isteri

Calon isteri hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:

  • Islam atau Ahli Kitab (tetapi dengan syarat tertentu)
  • Tentu orangnya.
  • Sah kewanitaannya.
  • Bukan isteri orang atau dalam idah suami terdahulu.
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Tiada tegahan syarak untuk berkahwin dengan lelaki yang akan menjadi suaminya.
rukun nikah

3. Wali

Wali pula hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Islam.
  • Lelaki.
  • Baligh.
  • Sukarela.
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Sempurna akal (tidak gila).
  • Adil.
  • Tidak ditahan daripada menguruskan hartanya kerana safih (bodoh atau dungu).

Senarai Wali

Senarai wali mengikut susunan keutamaan:

  1. Bapa.
  2. Datuk dan ke atas.
  3. Saudara lelaki seibu dan sebapa (adik beradik).
  4. Saudara lelaki sebapa (adik beradik).
  5. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara).
  6. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa dan ke bawah (anak saudara).
  7. Saudara lelaki bapa seibu sebapa (bapa saudara).
  8. Saudara lelaki bapa sebapa (bapa saudara).
  9. Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa seibu sebapa (sepupu).
  10. Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa sebapa dan ke bawah (sepupu).
  11. Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (datuk saudara).
  12. Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (datuk saudara).
  13. Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (sepupu kepada bapa).
  14. Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (sepupu kepada bapa).
  15. Wali hakim (sekiranya tiada wali yang disebutkan di atas).

Wali Hakim

Seseorang perempuan boleh berkahwin menggunakan wali hakim apabila berlaku salah satu daripada sebab-sebab berikut:

  • Tiada wali nasab
  • Wali nasab yang dekat tidak memenuhi syarat wali dan wali yang berikut atau wali jauh tidak ada.
  • Wali berada ditempat yang jauh iaitu berada dalam atau lebih dua marhalah (tidak kurang dari 93 km) dan tidak mewakilkan kepada orang lain.
  • Wali yang ditahan dipenjara dan tidak dapat dihubungi.
  • Wali yang enggan menikahkannya tanpa sebab yang munasabah.
  • Wali menyembunyikan diri kerana tidak mahu menikahkannya.
  • Wali yang sengaja menangguhkan akad nikah tanpa sebab.
  • Wali hilang dan tidak diketahui tempatnya serta tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah mati.
  • Wali hendak bernikah dengan perempuan yang dia sendiri menjadi wali sedangkan tiada wali lain yang sedarjat dengannya.

4. Saksi (2 orang saksi)

Syarat-syarat bagi saksi pula adalah seperti berikut:

  • Islam.
  • Lelaki.
  • Baligh.
  • Sempurna akal.
  • Boleh mendengar.
  • Boleh melihat.
  • Boleh bertutur.
  • Faham bahasa ijab kabul.
  • Adil.
  • Tidak ditentukan menjadi wali.

5. Lafaz ijab dan kabul

Ijab dan kabul perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

  • Lafaz ijab dengan lafaz nikah atau tazwij atau terjemahan.
  • Lafaz akad tidak mengandungi taklik.
  • Lafaz akad tidak mengandungi batas waktu.
  • Lafaz kabul hendaklah mengandungi lafaz terima nikah.
  • Lafaz kabul hendaklah disebut nama perempuan atau ganti nama.
  • Lafaz ijab dan kabul hendaklah berturut-turut (tidak diselangi dengan perkataan atau kata-kata lain atau diam yang lama antara ijab dan kabul).
  • Hendaklah berkekalan kelayakan orang yang melafazkan ijab dan kabul serta saksi-saksi itu sehingga selesai akad.
  • Lafaz ijab dan kabul didengar dan difahami oleh kedua-dua saksi.

Hikmah Pernikahan

Pernikahan dalam Islam mempunyai banyak hikmahnya. Antaranya adalah:

  • Memelihara kesucian keturunan.
  • Mengelakkan daripada berlakunya pergaulan bebas dan zina.
  • Menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan menurut syarak.
  • Menghubungkan kasih sayang.
  • Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.

Akhir Kalam

Semoga kita semua dikurniakan jodoh dan pasangan yang baik-baik.

Walaupun ‘trend’ sekarang menunjukkan pernikahan atau perkahwinan lewat (lewat umur) akibat pelbagai faktor, sebagai umat Islam yang sentiasa menuruti sunnah Rasulullah s.a.w kita haruslah kekal berazam untuk bernikah.

Sesungguhnya, jodoh pertemuan itu adalah ketentuan Allah s.w.t. Kita sebagai hambanya harus akur dengan ketentuan-Nya kerana sesunguhnya Allah Ta’ala jualah yang mengetahui sebab musababnya.

Wallahu a’lam