Akidah

Rukun Islam: Senarai dan Huraiannya

Pinterest LinkedIn Tumblr

Selain rukun Iman, rukun Islam juga adalah salah satu daripada 3 rukun agama. Rukun Islam adalah rukun yang mengandungi 5 perkara yang wajib dihayati dan dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Umat Islam juga wajib berpegang teguh kepada rukun-rukun ini.

Islam ialah agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Rasul-Nya untuk dijadikan pedoman dan cara hidup penganutnya. Agama Islam ialah satu-satunya agama yang diredhai dan diberi jaminan oleh Allah s.w.t.

Ini dibuktikan dalam potongan ayat 19, surah Ali-Imran yang bermaksud:

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.

(Surah Ali-Imran: 19)

5 Rukun Islam

  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Menunaikan solat 5 waktu
  3. Berpuasa di bulan Ramadhan
  4. Mengeluarkan zakat
  5. Mengerjakan haji di Baitullah (bagi yang mampu)
rukun islam kelima iaitu menunaikan haji
Rukun Islam ke-5; Menunaikan haji di Mekah

Huraiannya

Berikut ialah huraian rukun-rukun Islam untuk kita fahami kesan dan relevannya penghayatan rukun Islam ini dalam kehidupan manusia.

1. Mengucap dua kalimah syahadah

Dua kalimah syahadah ialah penyataan ikrar misi dan visi hidup seorang Muslim.

Syahadah adalah pengucapan lidah yang melahirkan pengakuan hati dan keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keesaan Allah serta kebenaran Rasul-Nya Muhammad s.a.w sebagai utusan terakhir.

Kalimah syahadah ini juga membezakan antara umat Islam dan orang kafir. Kalimah ini menjadi syarat mutlak untuk umat islam memasuki syurga.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa yang mengakhiri kalamnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lailahaillallah maka dia masuk syurga.” (HR Muaz bin Jabal)

Kalimah syahadah ini juga menjadi kunci atau syarat utama untuk sesuatu amalan atau ibadat itu diterima oleh Allah s.w.t.

2. Menunaikan Solat 5 Waktu

Menunaikan solat adalah satu kewajiban atas setiap umat Islam yang akil dan baligh. Rasulullah s.a.w menerima perintah solat secara terus daripada Allah s.w.t dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Solat merupakan hubungan secara langsung antara kita (makhluk) dan Allah (pencipta). Solat juga menunjukkan sifat kehambaan kita kepada Allah s.w.t.

Solat boleh memelihara manusia daripada melakukan kejahatan, solat memberi ketenangan jiwa dan solat mendidik manusia supaya mengingati Allah.

Dengan bersolat, kita akan lebih dekat dengan Allah. Dengan bersolat keimanan dan ketakwaaan kita akan semakin utuh.

3. Berpuasa di bulan Ramadhan

Berpuasa menurut bahasa ialah menahan diri daripada sesuatu dan menurut istilah bererti menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari.

Berpuasa dapat mendidik sesorang muslim dengan sifat sabar dan tabah. Puasa juga boleh menjadikan sesorang itu lebih bertakwa dan memberi kesegaran mental dan fizikal.

Syarat-syarat wajib puasa:

  • Islam
  • Baligh – tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur.
  • Berakal – tidak wajib bagi orang gila
  • Berkemampuan – tidak wajib bagi orang yang sakit, musafir, orang tua, wanita mengandung yang bimbang akan kesihatan anak dan dirinya, dan sebagainya.

4. Mengeluarkan zakat

Zakat dari segi bahasa membawa maksud membersihkan atau menyucikan.

Dari istilah syarak, zakat bererti sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah s.w.t diserahkan kepada orang yang berhak.

Berzakat dapat:

  • membantu golongan yang susah atau fakir miskin
  • menjauhkan sifat kedekut dalam diri umat Islam
  • mengeratkan tali persaudaraan antara yang kaya dan miskin
  • sebagai tanda syukur akan nikmat-nikmat Allah

7 golongan (asnaf) yang berhak menerima zakat (PPZ):

  1. Orang fakir
  2. Orang miskin
  3. Amil
  4. Muallaf
  5. Orang yang berhutang (Al-Gharimin)
  6. Musafir yang putus perbelanjaan (Ibnu Sabil)
  7. Hamba yang dimerdekakan (Al-Riqab)

5. Mengerjakan haji di Baitulallah

Setiap umat Islam yang cukup syaratnya (berkemampuan) wajib mengerjakan haji di Mekah. Haji ialah ibadat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Ibadat haji tidak seperti ibadat yang lain. Ibadat haji hanya boleh dikerjakan di kota suci Mekah dan dilakukan dalam musim haji sahaja iaitu pada bulan Zulhijjah.

Syarat-syarat wajib haji:

  1. Islam
  2. Baligh– Tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya apabila baligh.
  3. Berakal – Tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.
  4. Merdeka – Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.
  5. Berkuasa/berkemampuan

Write A Comment