Syariat

Niat Mandi Wajib dan Cara Mandi Wajib Yang Betul

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mandi wajib atau mandi junub adalah kaedah bersuci bagi sesiapa yang berada dalam keadaan berhadas besar (junub).

Seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan adalah dilarang mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid sekiranya berada dalam keadaan berhadas besar.

Suruhan untuk mandi wajib adalah berdasarkan perintah Allah s.w.t dalam surah al-Nisa dan al-Maidah (rujukan).

Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: Ayat 43)

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: Ayat 6)

mandi wajib

Syarat Sah Mandi Wajib

Terdapat tiga syarat sah atau kefardhuan bagi mandi wajib iaitu:

1. Niat

Seseorang yang hendak mandi wajib hendaklah berniat mandi wajib. Tempat berniat adalah hati.

Lafaz niat :

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ اْلاَكْبَرِ ِللهِ تَعَالَى

Bacaan rumi: Nawaitu raf’al hadasil akbari lillahi ta’ala

Maksudnya: Aku berniat mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala

2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan

Sebelum mandi atau meratakan air pada badannya, seseorang itu harus membersihkan terlebih dahulu najis yang terdapat pada badannya (jika ada).

3. Mengalirkan air keseluruh bahagian kulit dan bahagian kulit yang ditumbuhi bulu atau rambut hingga air meresap masuk ke bahagian bawahnya

Sekiranya ada bahagian tubuh yang tidak terkena air, walaupun kecil. Maka bahagian itu tetap wajib dibasuh.

Diwajibkan juga untuk memperhatikan lipatan-lipatan dan kerutan pada tubuh seperti ketiak, celah-celah jari, tapak kaki, celah kelangkang dan pusat. Mesti disiramkan air ke bahagian-bahagian ini.

Sekiranya rambut seseorang yang mandi itu diikat atau disimpul, maka rambutnya itu wajib dilepaskan jika air diyakini tidak sampai ke bahagian dalam rambutnya.

Jika air sampai ke dasar rambut,meskipun rambutnya diikat atau disimpul, maka itu dimaafkan dan ikatan rambut tidak mesti dilepaskan.

Ini berdasarkan hadith Ummu Salamah ketika bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang wajibnya membuka ikatan atau simpulan rambut ketika mandi wajib kerana berjunub atau haid.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidak perlu dibuka, cukup kamu siramkan air ke kepalamu sebanyak tiga kali siraman, kemudian ratakan air itu ke seluruh tubuhmu sehingga engkau merasa sudah suci.”

Riwayat Muslim

[Rujukan: Ensiklopedia Imam Al-Syafie : Perbahasan Kitab al-Umm]

Cara Mandi Wajib Yang Betul

Cara mandi wajib ini boleh diamalkan oleh golongan lelaki dan perempuan. Cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:

1. Niat ketika air sampai ke badan.

2. Membaca “Bismillah”.

3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali (3x).

4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.

5. Membersihkan (menyucikan) tangan kiri dengan sabun.

6. Berwuduk.

Berwuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa (wuduk untuk solat). Atau menangguhkan mencuci kaki sehingga selesai mandi.

7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara merata dan menyiramnya 3 kali dengan air.

Cara ini adalah berdasarkan hadith daripada Saidatina Aisyah r.a. di dalam Sahih al-Bukhari yang bermaksud:

Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya.”

Menyiram kepala ini haruslah dimulakan dengan bahagian sebelah kanan kemudian diikuti sebelah kiri dan tengah.

Ini berdasarkan hadith Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud:

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri“.

8. Mendahului anggota sebelah kanan.

Mulakan siraman atau basuhan pada anggota badan sebelah kanan terlebih dahulu. Ini berdasarkan hadith dari Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud:

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci.” -Sahih Muslim.

9. Meratakan air ke seluruh badan.

Meratakan dan membasahi anggota badan satu persatu dengan memastikan air mengenai bahagian badan yang berlipat, berongga dan berlekuk.

Contohnya seperti daun telinga, lekukan perut dan bahagian dalam pusat, ketiak , celahan jari-jemari dan celah kelangkang.

10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat.

[Rujukan: Majalah Cahaya JAKIM]

Perkara Yang Menyebabkan Perlunya Mandi Wajib

Perkara-perkara yang menyebabkan perlunya mandi wajib adalah seperti berikut:

  • Bersetubuh
  • Keluar air mani dengan sengaja atau tidak sengaja
  • Haid
  • Nifas
  • Wiladah
  • Mati selain mati syahid

Akhir Kalam

Sesungguhnya mandi wajib ini adalah satu kewajipan yang harus dipatuhi oleh umat Islam bagi membolehkan mereka kembali suci untuk melakukan ibadah.

Walaupun mandi ini kelihatan mudah, namun harus sentiasa diberi perhatian akan basuhan supaya air tersebut rata keseluruh badan terutamanya dibahagian-bahagian berlipat, rongga dan lekukan.

Wallahu a’lam