Info

7 Golongan Yang Mendapat Perlindungan Allah

Pinterest LinkedIn Tumblr

Siapakah 7 golongan yang mendapat perlindungan Allah ini? Rasulullah s.a.w menceritakan satu keadaan yang amat menggerunkan pada hari kiamat berdasarkan satu hadis yang bermaksud:

Pada hari kiamat didekatkan matahri kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu. pada ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada yang (peluhnya) sekadar sampai di buku lali, lutut, pinggang dan mulut (sambil Baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).

Hadis Riwayat Muslim dan al-Tirmizi

Saat itu, manusia akan tercari-cari tempat perlindungan daripada teriknya matahari ketika itu. Tiada lagi gunanya harta kekayaan dan pangkat ketika itu, yang berguna hanyalah iman dan amal jariahnya ketika hidup di dunia.

Namun, terdapat 7 golongan istimewa yang akan mendapat perlindungan atau naungan Allah s.w.t pada saat itu. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka pada hari yang mana tiada naungan melainkan naungan yang diberikan oleh Allah s.w.t.

7 golongan itu adalah seperti berikut:

golongan yang mendapat perlindungan Allah

Golongan 1: Pemimpin yang Adil

Pemimpin adalah satu jawatan atau kedudukan yang amat penting dalam kehidupan di dunia ini. Pemimpin yang adil akan membawa kemakmuran dan keadilan kepada semua orang.

Pemimpin yang adil juga bakal melahirkan ramai golongan yang mentaati Allah s.w.t. Adil disini membawa maksud mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.

Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin terbaik untuk dicontohi.

Golongan 2: Pemuda yang Hidup dalam Ketaatan

Golongan pemuda atau remaja yang hidup dalam ketaatan atau beriman adalah golongan yang istimewa.

Hal ini kerana, zaman remaja adalah zaman yang paling mencabar. Cabaran dan pengaruh rakan sebaya, media sosial, teknologi dan internet banyak menguji jati diri dan sahsiah seorang remaja itu.

Keinginan untuk sentiasa mencuba benda baru turut menjadi cabaran kepada golongan ini. Masalah dadah, pil kuda, lumba haram, masalah sosial, merokok dan lain-lain lagi sentiasa menyelubungi golongan remaja.

Istimewanya, masih ada golongan remaja yang masih menjaga agama mereka. Masih menjaga perkara yang halal dan haram. Golongan ini layak menerima perlindungan atau naungan Allah di akhirat kelak.

Golongan 3: Pencinta Masjid

Golongan mendapat perlindungan Allah Ta’ala yang seterusnya pula ialah pencinta masjid.

Golongan pencinta masjid ialah mereka yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Golongan ini akan berusaha dan sanggup berkorban apa sahaja demi menghidupkan fungsi dan peranan masjid.

Golongan ini mempunyai lima sifat sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Taubah ayat ke-18:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Golongan 4: Dua Insan yang Berkasih Sayang Kerana Allah, Berkumpul dan Berpisah Kerana Allah

Berkasih sayang adalah tidak salah disisi agama Islam. Malahan, agama Islam ialah agama kasih sayang.

Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya sama ada ahli keluarga, sahabat handai atau tokoh yang dikagumi. Cuma, apakah asas kepada kasih sayang itu dibina? Adakah kerana Allah atau perkara lain?

Sekiranya kasih sayang itu dibina atas dasar duniawi seperti harta benda, kecantikan atau keuntungan dunia, maka mereka bukanlah tergolong dalam golongan yang mendapat perlindungan ini.

Golongan 5: Lelaki yang Menolak Apabila Digoda Untuk Berzina

Lelaki yang menolak diajak berzina oleh perempuan yang cantik dan kaya kerana takut kepada Allah seraya berkata “Aku takut kepada Allah” adalah golongan kelima yang mendapat perlindungan Allah.

Ini membuktikan pemuda ini takut akan kemurkaan Allah Ta’ala berbanding pujukan nafsunya.

Golongan 6: Insan yang Menyembunyikan Sedekahnya

Sedekah merupakan pelaburan yang paling menguntungkan.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Hadith Riwayat Muslim, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Abu Daud (Rujukan)

Golongan ini bersedekah dengan menyembunyikannya sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya adalah untuk menjaga hatinya serta bermujahadah untuk mencapai kemuncak keikhlasan.

Golongan 7: Insan yang Mengingati Allah sehingga Menitiskan Air Mata

Golongan terakhir ini ialah golongan yang sentiasa mengingati Allah s.w.t. Untuk mencapai tahap berzikir kepada Allah sehingga menitiskan air mata bukanlah mudah.

Hanya hati yang lembut dan terdidik boleh membawa ke arah ini. Namun, setiap umat Islam harus berusaha ke arah ini di mana hatinya sentiasa mengingati Allah dan lidahnya sentiasa bertasbih kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Oleh itu, berusahalah kita selagi hayat dikandung badan untuk mendapat perlindungan daripada Allah di hari kiamat kelak.

Semoga Allah merahmati kita semua~

Write A Comment