Syariat

Doa Selepas Solat Fardhu Berserta Wirid Ringkas

Pinterest LinkedIn Tumblr

Doa selepas solat amatlah dituntut di dalam Islam. Doa adalah senjata orang mukmin dan menjadi sumber kekuatan dalam menjalani kehidupan seharian. Amalan wirid dan doa adalah dua gabungan yang cukup baik.

Sudah tentu jika berdoa dan meminta kita berharap agar apa yang dipinta ditunaikan oleh Allah. Maka, salah satu kaedah untuk meningkatkan kebarangkalian untuk doa kita ditunaikan adalah dengan memuji-muji Allah terlebih dahulu.

Analoginya mudah, sekiranya anda ingin meminta sesuatu daripada orang kaya, kaedah manakah yang lebih senang untuk dapat:

Situasi pertama: Terus meminta kepada orang tersebut tanda memujinya.

Situasi kedua: Sebelum meminta, anda memuji akan kelebihannya, kekayaannya dan kemurahannya. Kalau dalam bahasa mudahnya ialah “bodek”.

Sudah tentu kebarangkalian untuk dapat apa yang dipinta adalah pada situasi kedua.

Begitu juga keadaan kita sebagai hamba dengan Allah s.w.t. Sebelum berdoa dan meminta, berzikirlah seketika dengan memuji keesaan, kekuasaan, kemurahan dan segala sifat terpuji Allah s.w.t.

Malahan, kita turut disuruh berdoa seperti mana dalam firman Allah Ta’ala dalam surah Ghaafir (al-Mu’min) ayat 60 yang membawa maksud:

Dan Tuhan kamu berfirman:”Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”

Surah Ghaafir ayat 60.

Demikianlah jaminan Allah terhadap doa-doa dan permintaan kita. Sama ada tertunai di dunia atau disimpan untuk akhirat kelak, itu adalah hak Allah s.w.t. Ini berdasarkan sebuah hadith yang membicarakan hal ini:

Daripada Abi Said al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” – Hadis Riwayat Muslim (rujukan).

Selepas setiap solat, sebelum berdoa kita juga disarankan agar berzikir sebentar sebelum berdoa. Antara amalan zikir yang boleh dijadikan wirid adalah seperti berikut:

Wirid Ringkas Selepas Solat Fardhu

1. Bacaan Istighfar sebanyak 3 kali

ِأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْه

Maksudnya:

Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan aku bertaubat kepada-Nya.”

2. Kemudian dibaca bacaan berikut sebanyak 1 kali.

wirid-2

Maksudnya:

Ya Allah, Engkaulah sumber keselamatan, dari Engkaulah datangnya keselamatan, kepada Engkau pulalah kembalinya keselamatan itu. Dari itu hidupkanlah kami, wahai Tuhan, dalam keadaan selamat sejahtera. Masukkanlah kami ke dalam syurga tempat aman sentosa. Maha Besar Engkau, wahai Tuhan, Maha Tinggi Engkau.”

3. Kemudian diikuti bacaan ini sebanyak 3 atau 10 kali.

wirid lepas solat

Maksudnya:

Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dialah yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.”

Disunatkan membacanya sebanyak 10 kali sesudah solat maghrib dah subuh sebelum beralih kedudukan (dari posisi tahiyat akhir) atau bercakap perkara lain (hal dunia atau bersembang).

4. Kemudian berzikir

a) Subhanallah (33 kali)

ِسُبْحَانَ الله

Maha Suci Allah

b) Alhamdulillah (33 kali)

ِالْحَمْدُ لِلَّه

Segala puji bagi Allah

c) Allahuakhbar (33 kali)

ُاللهُ أَكْبَر

Allah Maha Besar

d) Seterusnya ditutup dengan bacaan berikut.

Maksudnya:

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada bersekutu denganNya sesuatu. Baginya kerajaan, baginya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”

5. Kemudian, ditutupi dengan doa selepas solat.

*Nota: Ini adalah susunan zikir yang paling ringkas yang boleh diamalkan sebagai wirid selepas solat terutamanya bagi mereka yang terlalu sibuk. Terdapat banyak lagi susunan wirid yang boleh diamalkan selain daripada ini.

ٍWirid selepas solat adalah himpunan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w mengiringi solat.

Wirid itu sendiri secara umumnya membawa erti zikir yang diamalkan secara berulang-ulang sehingga menjadi satu kebiasaan (tabiat).

Susunan zikir ini disusun oleh para alim ulama untuk memudahkan orang awam untuk mengamalkannya.

Membaca wirid juga adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan kepada Allah, meneguhkan perasaan kasih dan cinta kepada Allah serta melahirkan kesyukuran kepada-Nya.

Adab-adab Berdoa

Ketika berdoa, kita juga disarankan agar menjaga adab-adab berdoa. Antaranya ialah:

  • Berdoa dalam keadaan bersih termasuklah daripada hadas kecil dan besar.
  • Suci pakaian dan tempat berdoa.
  • Mengadap kiblat dan berdoa dengan khusyuk, tawaduk dan rendah diri.
  • Memulakan dengan ucapan: َبِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن dan diikuti selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.
  • Sebelum disudahi dengan lafaz “Amin”, tutuplah doa tersebut dengan sekali lagi selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan puji-pujian kepada Allah s.w.t.

Doa Selepas Solat Fardhu

DOA-selepas-solat-fardhu

Maksudnya:

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani.

Segala puji bagi Allah dengan pujian yang sesuai dengan nikmat-nikmat-Nya dan sejajar dengan anugerah tambahan-Nya.

Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian yang selayaknya bagi keagungan zat-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu.

Ya Allah, cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w mencakupi orang-orang terdahulu dan terkemudian dan anugerahkanlah keselamatan kepadanya.

Restu Allah mudah-mudahan dikurniakan kepada para pemimpin kami dari kalangan para sahabat Rasulullah sekaliannya.

Ya Allah, hidupkan kami dengan iman, kumpulkan kami dengan iman dan masukkan kami ke dalam syurga bersama iman, dengan berkat rahmat-Mu, hai yang Paling Pengasih diantara yang mengasihani.

Ya Allah, tolonglah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah yang sebaiknya untuk-Mu.

Ya Allah, kami pohonkan kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, kehormatan diri dan kecukupan.

Ya Allah, terimalah solat kami sepenuhnya dan ampunkanlah dosa kami semuanya. Janganlah Engkau seksa kami biar pun sampai hari kiamat nanti. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami dan ibu bapa kami, rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidik kami dengan baik sejak kecil.

Ya Allah, hidupkan kami seperti kehidupan para ulama, matikan kami seperti para syuhada dan kumpulkan kami dalam kumpulan para aulia’, masukkan kami ke dalam syurga bersama para nabi a.s.

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah mana Engkau tunjuki kami. Berikanlah kami dari sisi-Mu rahmat sesungguhnya Engkau Tuhan Maha Pemberi.

Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami dan ketelanjuran kami dalam segala urusan kami serta teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami, hapuskan kejahatan kami dan matikan kami bersama orang-orang yang baik.

Wahai Tuhan kami, berikan kepada kami di dunia ini kebaikan dan di akhirat juga kebaikan serta selamatkan kami daripada api neraka.

Ya Allah, sudahilah ajal kami dengan kesudahan yang baik, janganlah Engkau sudahi terhadap kami, ya Allah dengan kesudahan yang buruk.

Selawat Allah ke Muhammad, keluarga dan para sahabatnya, salam sejahtera, Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan yang disifatkan oleh mereka (orang kafir), salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Akhir Kalam

Berdoa sebaik-baiknya adalah dalam bahasa yang kita fahami agar ada penghayatan dalam setiap permintaan kita.

Walau bagaimanapun, membaca doa dalam bahasa arab juga adalah digalakkan dan sunnah dan lebih bagus sekiranya kita memahami maksudnya.

Berdoalah dengan penuh pengharapan dan rasa rendah diri supaya mudah-mudahan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Write A Comment