Info

Biografi Imam al-Syafie : Latar Belakang [Episod 1]

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pada episod 1 Biografi Imam al-Syafie, kita akan menyingkap sedikit sebanyak mengenai latar belakang Imam al-Syafie seperti nama lengkap beliau, asal usul beliau dan keluarga beliau.

Imam al-Syafie atau nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris.

Nama lengkap Imam al-Syafie pula adalah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafie bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid Yazid bin Hasyim bin al-Mutallib bin Abd Manaf bin Qusay.

Beliau bertemu nasab dengan Rasulullah s.a.w pada datuknya yang kesembilan yang merupakan datuk yang ketiga Nabi Muhammad s.a.w iaitu Abd Manaf.

Dua orang datuk Imam al-Syafie juga merupakan sahabat Rasulullah s.a.w iaitu al-Sa’ib dan Syafi’.

latar belakang imam al-syafie

Imam al-Syafie telah dilahirkan di Gaza, negeri Syam (kini dikenali sebagai Palestin) pada bulan Rejab 150 Hijrah atau 767 Masihi. Menurut pakar sejarah, beliau dilahirkan pada tahun kematian Imam Abu Hanifah.

Ayah dan ibu kepada imam al-Syafie berasal dari Mekkah. Ayahnya meninggal dunia semasa ibu dan ayahnya dalam perjalanan menuju ke Palestin. Ketika itu beliau masih berada di dalam kandungan ibunya.

Ibu Imam al-Syafie dipanggil Ummu Habibah al-Azdiyah. Isterinya pula bernama Hamdah binti Nafi’ bin ‘Anbasah bin ‘Amr bin ‘Uthman bin ‘Affan.

Menurut Imam al-Nawawi, Imam al-Syafie adalah seorang yang bersuku Quraisy sekali gus bersuku al-Mutallib, manakala ibunya seorang yang bersuku al-Azdi.

Kepintaran ibu Imam al-Syafie dapat dilihat dalam satu peristiwa dimana beliau pernah menjadi saksi bersama seorang perempuan lain dan seorang lelaki. Hakim ingin memisahkan antara mereka berdua (dua perempuan tersebut).

Melihat perkara ini, ibu Imam al-Syafie berkata kepada hakim itu, “Yang arif tidak boleh berbuat seperti ini kerana Allah s.w.t berfirman:

…..أَن تَضِلَّ إِحۡدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحۡدَىٰهُمَا ٱلۡأُخۡرَىٰۚ…

Maksudnya: “…..supaya jika yangn seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi…” (Surah al-Baqarah: 282)

Hakim itu mengikuti pendapat ibu Imam al-Syafie dalam masalah itu. Ini merupakan bukti kecerdasan seorang ibu kepada Imam al-Syafie.

Keluarga Imam al-Syafie melahirkan ramai tabi’in dan tabi’ tabi’in yang merupakan ulama yang banyak meriwayatkan hadis.

Contohnya seperti Nafi’ bin ‘Ujair bin Abd Yazid, Abdullah bin ‘Ali bin al-Sa’ib, Talhah bin Rukanah, Yazid bin Talhah, al-Sa’ib bin Yazid bin Rukanah, ‘Ali bin al-Sa’ib, Muhammad bin ‘Ali bin Yazid bin Rukanah dan saudaranya Abdullah bin ‘Ali, al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafie, Muhammad bin ‘Ali bin Syafie, Muhammad bin al-‘Abbas, Abdullah bin Idris bin al-Abbas, Ibrahim bin Muhammad bin al-Abbas dan saudaranya Abdullah bin Muhammd bin al-Abbas.

Generasi setelah mereka juga masih ramai yang mendengar dan meriwayatkan hadis.

Biografi Imam al-Syafie akan bersambung kepada episod ke-2.

Rujukan:

[1] Ensiklopedia Imam al-Syafie (Jilid 2): Perbahasan Kitab al-Umm.

[2] Jabatan Agama Islam perak