Akidah

Ajaran Sesat di Malaysia: Bagaimana Mengenalinya?

Pinterest LinkedIn Tumblr

Ajaran sesat di Malaysia adalah bukan isu yang baharu. Ada kalanya ajaran-ajaran sesat ini sukar dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk di antara yang salah dan benar.

Menurut JAKIM, ajaran sesat boleh ditakrifkan sebagai “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam. Sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah” [1].

Adakah pengamal ajaran sesat dihukum murtad?

Hukum yang menentukan seseorang pengamal ajaran sesat itu murtad atau tidak bergantung kepada tahap atau jenis kesesatan yang dilakukannya.

Menurut ulama, jenis kesesatan boleh terbahagi kepada dua iaitu [1]:

  1. Kesesatan yang mengkafirkan (bid’ah mukaffirah): Mengingkari sesuatu hukum syarak yang telah disepakati (ijmak), telah mutawatir serta sewajibnya dimaklumi dalam agama atau orang yang menyakini sebaliknya.
  2. Kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah): Kesesatan yang tidak menyebabkan kekafiran tetapi ia dihukumkan sebagai fasiq atau pelaku dosa. Kesesatan jenis ini tidak sampai merosakkan pokok-pokok keimanan, tidak membatalkan sesuatu hukum yang mutawatir dan sesuatu hukum yang sewajibnya dimaklumi dalam agama. Akan tetapi ajaran atau amalan ini tetap dikategorikan sebagai sesat dan menyimpang daripada kebenaran.

Senarai Kumpulan Ajaran Sesat

Berikut adalah beberapa kumpulan atau ajaran yang telah difatwakan sesat, menyeleweng dan bukan ajaran Islam oleh Majlis-majlis Agama Islam di seluruh Malaysia (rujukan):

  1. Syiah
  2. Ajaran Taslim atau Ajaran Haji Ahmad/Muhammad Matahari
  3. Ajaran Tok Hussin Janggut atau Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
  4. Ajaran Perjalanan 21 Laduni Rahmatullah (Ajaran Ismail bin Harun)
  5. Ajaran Azhar Bin Wahab (Pengasas Al-Mansur Holding Sdn Bhd)
  6. Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim
  7. Fahaman dan Ajaran Hizbut Tahrir
  8. Ajaran Baha’i @ Bahai
  9. Ajaran Tal Tujuh
  10. Ajaran Islam Jama’ah
  11. Kumpulan Black Metal
  12. Tariqah Hasaniah
  13. Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil’ Alamin (PERAHMAT)
  14. Golongan Anti-Hadith
  15. Ajaran Tok Mat Janggut (Muhamad bin Othman)
  16. Ajaran Kumpulan Darul Arqam @ Al-Arqam
  17. Ajaran Nasrul Haq
  18. Ajaran Ahmadiah atau Qadiani oleh Mirza Ghulam Ahmad
  19. Ajaran Transcendentel Meditation
  20. Ajaran dan Ilmu Kebatinan, Tahan Diri yang diajar dan diamalkan oleh Nasrul Haq, Al Watan, Budi Suci Sejati, Jawa Faradin, Silat sunda pukulan ghaib, Tusuk hikmat, Ilmu kebatinan, Potong maya, Naluru, Kaula, Haqqulah, Shahadah Rampai, Wali Suci, Kalimat Sakti, Silat pukulan jarak jauh, Ilmu tenaga hikmat, Zikir sha’ban, Islam Haq, Asal wujud, Garis Laksamana dan Al Ma’zat.
  21. Ajaran Aurad Ismailiah oleh Mahmud bin Hj Abd Rahman
  22. Ajaran Syed Muhamad Al Masyhor
  23. Ajaran Tuan Haji Uyut Utun
  24. Tariqat Mufarridah
  25. Ajaran Nordin Putih dan Kumpulan Ikhwan
  26. Tariqat Naqsyabandiah kadirun Yahya
  27. Ajaran Al-Quran yang menolak hadis oleh Abdul Manan Bin Harun
  28. Ajaran Roslan Katimun dan Ajaran Wali Sembilan
  29. Ajaran Syed Mutalib
  30. Ajaran dibawa oleh Puan Tijah atau Khatijah binti Ali
  31. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
  32. Ajaran Haji Ghazali Bin Othman
  33. Ajaran Juruzon bin Abd. Latif
  34. Ajaran Abdul Rahim bin Abdul Razak
  35. Ajaran Ayah Pin / Tariqat Zikrullah Hasan Anak Rimau
  36. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
  37. Fahaman Wahdatul Wujud
  38. Ajaran Syed Mohamad Al-Masyur (Al-Mas)
  39. Amanat Haji Abdul Hadi
  40. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit
  41. Ajaran Zamre Bin Ab. Wahab
  42. Ajaran Haji Kahar bin Haji Ahmad Jalal
  43. Ajaran Budi Suci
  44. Ajaran dan Pegangan Ahli Jemaah Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd
  45. Ajaran Cahaya Qursani
  46. Ajaran Hizb Al-Tahrir
  47. Ajaran Kumpulan Layar Bahtera
  48. Ajaran Agama Asalama
  49. Ajaran Panji Langit
  50. Ajaran Tapediri 65 atau Ba Tha Mim 114
  51. Ajaran Zikir Alunan Zat Cinta / Hikmah Fatihah oleh Zaman Bin Mohd Nor
mengenali ajaran sesat di Malaysia

Bagaimana Mengenalinya?

Imam al-Syafie pernah berkata, “ Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah.”

Pernyataan Imam al-Syafie ini harus menjadi panduan untuk kita menilai seseorang yang dikatakan mempunyai ‘karamah’ atau kehebatan luar biasa sebelum kita mengangkatnya sebagai guru kita.

Bagaimana caranya? Nilai dan kenalilah ‘guru’ anda itu sama ada dalam kehidupan dan tindakannya, adakah menurut al-Quran dan al-Sunnah? atau sekadar berpandukan nafsu semata-mata.

Harus juga diingat bahawa perkara-perkara ganjil itu tidak semestinya tergolong dalam ‘karamah’ para wali, tetapi boleh juga terjadi dengan bantuan jin dan syaitan.

Maka, sekiranya seseorang yang dianggap guru itu melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak, sudah tentu guru itu bukanlah guru yang layak untuk diikuti.

Selain itu, ajaran sesat ini boleh dikenali melalui dakwaan ketua-ketua atau pengasas ajaran ini. Contohnya seperti dia ialah Tuhan, dia ialah nabi dan dia ialah Imam Mahdi. Semua dakwaan-dakwaan ini tidak boleh diterima akal dan terang-terangan menyeleweng daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Adalah mustahil Tuhan memerlukan tidur,makan,minum, sakit dan mati seperti mereka. Mustahil juga ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. kerana dalam surah al-Ahzab ayat 40 telah ditegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi akhir zaman dan tidak ada lagi rasul dan nabi setelah kewafatan Baginda.

Rasulullah s.a.w juga telah menerangkan akan ciri-ciri Imam Mahdi dalam hadis-hadis Baginda. Antara ciri-ciri Imam Mahdi adalah berketurunan Arab Quraisy. Justeru, adalah pelik dan juga lucu jika ada yang mengelar dirinya itu Imam Mahdi sedang dirinya berbangsa Melayu.

Kenapa Ajaran Sesat di Malaysia Ini Masih Mempunyai Pengikut?

Kekurangan ilmu atau asas agama yang benar boleh menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada seseorang itu mempercayai ajaran-ajaran sesat ini.

Selain itu, mereka juga mungkin tertarik dengan dakyah-dakyah yang selari dengan kehendak nafsu dan akal semata-mata. Contohnya tidak perlu menunaikan solat, cukup sekadar niat. Tidak perlu membaca al-Quran kerana al-Quran itu palsu. Boleh nikah batin dan sebagainya.

Di samping itu juga, kebanyakan ajaran sesat di Malaysia ini disebarkan secara senyap-senyap atau berselindung daripada sesuatu entiti. Keadaan ini tidak dapat dibincang dan dinilai oleh umum secara terus atau terperinci.

Ajaran sesat ini juga kadang-kalanya mempunyai peringkat-peringkat tertentu yang pada permulaannya menonjolkan kebenaran tetapi diakhirnya mengandungi ajaran dan kepercayaan yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Akhir Kalam

Islam adalah agama yang sangat mementingkan akidah. Akidah adalah perkara pertama yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w untuk mengubah kepercayaan masyarakat Arab kepada keimanan kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, umat Islam di Malaysia perlu memantapkan pegangan akidah masing-masing selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kuliah-kuliah agama juga kini mudah didapati di masjid-masjid di seluruh negara. Kuliah atau kelas agama ini disampaikan oleh penceramah yang bertauliah yang telah disaring oleh jabatan agama negeri.

Wallahu a’lam

Rujukan:

  • [1] Mohd Aizam Bin Mas’od. 2013. Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, JAKIM.
  • Anhar Bin Opir. Analisis Fatwa Berkaitan fahaman dan Pemikiran Agama. JAIS.

Write A Comment