Akhlak

Adab Membaca Al-Quran Yang Mungkin Diabaikan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Al-Quran adalah kalamullah yang mengandungi mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s. Adalah menjadi satu tuntutan agar setiap orang Islam agar menjaga adab ketika membaca Al-Quran mahupun sebelum dan selepasnya.

Al-Quran diturunkan melalui beberapa peringkat iaitu:

  1. Al-Quran diturunkan ke Luh Mahfuz. Cara penurunan dan wujudnya Al-Quran di Luh Mahfuz tidak diketahui kecuali oleh Allah s.w.t jua.
  2. Seterusnya, Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di Langit Dunia pada Lailat al-Qadar dalam satu jumlah (sekaligus).
  3. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s. secara beransur-ansur.

Berbeza dengan ucapan lain (hadis Qudsi dan hadis Nabawi), Al-Quran merupakan firman Allah s.w.t yang diturunkan dengan lafaz dan makna yang jelas melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Kemudian, Al-Quran tersebar dalam bentuk-bentuk tetap dan tidak dapat ditiru atau diubah serta mendapat jaminan Allah s.w.t.

Firman Allah dalam surah al-Hijr yang bermaksud:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Surah al-Hijr 15:9

Selain itu, menceritakan kelebihan membaca Al-Quran, Ibnu Mas’ud r.a. berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan diganda sepuluh. Aku tidak bermaksud (Alif Lam Min) itu satu huruf akan tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf.

Riwayat al-Tirmizi

Rukun-rukun Bacaan Yang Sah

Bacaan Al-Quran yang sah dari segi syarak haruslah memenuhi 3 rukun tilawah iaitu:

  1. Kesinambungan sanad dengan bacaan Rasulullah s.a.w (secara musyafahah).
  2. Betepatan dengan bahasa Arab Fushah.
  3. Bertepatan dengan Rasm Uthmani (Mashaf al-Imam) atau salah satu daripada mashaf yang enam.
adab membaca al-quran

Beberapa adab membaca al-Quran yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

Adab Sebelum Membaca Al-Quran

  • Suci dari hadas (hadas besar atau kecil)
  • Membersihkan diri dan bersiwak (menggosok gigi)
  • Berwuduk
  • Menutup aurat
  • Memakai pakaian yang sopan.
  • Berada di tempat yang bersih dan suci.

Diriwayatkan oleh al-Hakim al-Tirmidzi dalam kitab Nawadir al-Usul, cara menghormati dan mengagungkan Al-Quran adalah dengan cara (Rujukan):

  • Hendaklah berpakaian seperti mana kamu berpakaian ketika ingin bertemu seorang raja untuk meminta sesuatu permintaan.
  • Mengenakan serban dan pakaian yang indah dan menghadap kiblat.

Adab Semasa Membaca Al-Quran

  • Mengadap Kiblat.
  • Membaca dengan tartil iaitu bacaan tenang tanpa tergopoh-gapah dan memenuhi kehendak tajwid.
  • Membaca Al-Quran dengan bertajwid.
  • Mengindahkan suara atau bertaranum.
  • Memperlahankan suara sekiranya mengundang rasa riak dalam diri.
  • Tidak membaca terlalu kuat (mengeraskan bacaan) sehingga menganggu orang lain yang sedang solat atau sedang tidur.
  • Cuba memahami makna-makna ayat Al-Quran.
  • Melakukan sujud tilawah ketika membaca ayat-ayat sajadah.
  • Membaca ‘bismillah’ pada setiap awal surah, kecuali pada surah at-Taubah.
  • Mengawali bacaan dengan kalimah ta’awudz (Audzubillahiminasyaitonirrojim).

Adab Selepas Membaca Al-Quran

  • Menutup Al-Quran dan membaca doa.
  • Menyimpan Al-Quran ditempat yang bersih dan tinggi (tempat yang sesuai).
  • Mencium dan mengucup Al-Quran.
  • membawa Al-Quran dengan penuh hormat.

Hikmah Beradab Dengan Al-Quran

Beradab dengan Al-Quran adalah salah satu tuntutan dan akhlak yang baik bagi seorang muslim yang beriman.

Mereka yang beradab dengan Al-Quran akan beroleh ganjaran pahala, keberkatan hidup dan yang paling tinggi ialah syafaat di akhirat kelak.

Hal ini berdasarkan satu hadis daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata:

Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah Al-Quran kerana Al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.

(Riwayat Imam Ahmad)


Wallahu a’lam