Akhlak

Adab Masuk Tandas dan Keluar Tandas (Doa Masuk Tandas)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tandas adalah tempat kotor atau tempat membuang najis. Oleh itu, Islam telah mengariskan panduan atau adab masuk tandas dan keluar tandas sebagai satu cara hidup yang boleh diamalkan oleh penganutnya.

Namun, kita juga sering terlupa akan pengamalannya terutamanya doa masuk tandas dan keluar tandas.

Hikmah menjaga adab ketika masuk tandas dan keluar tandas adalah untuk menjaga kebersihan dan membentuk keperibadian seorang Muslim.

Selain itu, tandas adalah tempat kotor dan tempat berkampungnya syaitan. Maka dengan beradab dan berdoa dapat menghindarkan diri kita daripada gangguan makhluk ini.

adab masuk tandas dan doa masuk tandas

Berikut adalah beberapa adab masuk tandas dan keluar tandas yang boleh diamalkan:

1. Tidak Membawa al-Quran atau Ayat Suci

Adalah dilarang untuk membawa naskah al-Quran ke dalam tandas atau kertas atau dokumen yang mengandungi ayat al-Quran. Begitu juga dengan kertas-kertas yang mengandungi kalimah Allah.

Bagi telefon yang menggunakan nada deringan ayat al-Quran atau selawat, harus diletak pada tetapan senyap terlebih dahulu atau tidak memakai nada deringan seperti ini. Hal ini dikhuatiri telefon tersebut berbunyi ketika anda berada di dalam tandas.

2. Membaca Doa Masuk Tandas

ِاللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِث

Maksudnya: “Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada gangguan syaitan jantan dan syaitan betina.”

3. Menutup Kepala

Disunatkan juga untuk menutup kepala semasa memasuki tandas atau bilik air.

Ini berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah yang bermaksud:

Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.

Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96)

Diriwayatkan juga daripada A’ishah r.a beliau berkata yang bermaksud:

Adalah Nabi s.a.w apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya.

Riwayat Al-Baihaqi (464)

Walaupun hadis daripada Saidatina Aisyah ini dinilai dhaif namun dalam bab fadhilat beramal, ia dibolehkan.

Baca perbahasan lanjut daripada Mufti Wilayah.

4. Masuk Dengan Kaki Kiri Terlebih Dahulu

Mendahulukan anggota kiri untuk ke tempat yang kotor atau melibatkan perkara yang tidak elok juga adalah sunnah Rasullullah s.a.w.

Ini berdasarkan pengajaran daripada hadith daripada Saidatina Aishah r.a. yang bermaksud:

Nabi s.a.w menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya.

Riwayat al-Bukhari (168) (Rujukan)

5. Memakai Alas Kaki atau Selipar

Memakai selipar atau sebarang alas kaki yang sesuai juga adalah satu adab masuk ke tandas. Selain mengelakkan anggota badan terutamanya kaki terkena kepada kotoran dan terdedah kepada jangkitan, memakai selipar juga dapat mengelakkan kita daripada tergelincir sekiranya lantai tandas itu licin.

Selain itu, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Habib bin Salih Rahimahullah yang bermaksud:

Adalah Nabi s.a.w apabila masuk ke dalam tandas baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya.

Riwayat al-Baihaqi (465)

Walaupun hadith ini dikatakan dhaif, namun beramal dengannya adalah dibolehkan.

6. Tidak Mengadap atau Membelakangi Kiblat

Adalah menjadi satu adab dan sunnah untuk tidak menghadap dan membelakangi kiblat ketika membuang air kecil atau air besar. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya ibarat diriku bagi kamu seperti seorang anak. Jika seseorang di antara kamu hendak membuang hajat, maka janganlah menghadap ke kiblat dan tidak pula membelakanginya ketika membuang air besar atau kecil. Hendaklah dia beristijak dengan tiga batu.

Riwayat Abu Dawud dalam kitab al-Taharah No. 8.

7. Menjimatkan Air

Tidak membazir dan menjimatkan air ketika menyucikan hadas adalah amalan mulia. Menjimatkan air juga boleh menjimatkan kos kerana kos pengeluaran bagi air bersih adalah tinggi.

Amalan membazir juga adalah amalan syaitan.

8. Beristinjak Dengan Tangan Kiri

Istinjak merujuk kepada penyucian seseorang daripada najis berikutan membuang air besar atau kecil.

Hendaklah beristinjak dengan tangan kiri sepertimana yang disarankan dalam satu hadith yang daripada Abdillah bin Abi Qatadah, daripada ayahnya, daripada Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya, dan jangan beristinjak dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas dalam bekas minuman.

Riwayat al-Bukhari (154)

9. Tidak Bercakap-cakap atau Bersembang

Saranan supaya tidak bercakap-cakap atau bersembang di dalam tandas adalah supaya kita tidak berlama-lama di dalam tempat yang kotor tersebut.

Selain itu, sekiranya tandas yang digunakan adalah tandas awam, ia dapat memberi peluang kepada orang lain untuk menggunakan tandas tersebut.

10. Tidak Menjawab Salam

Menurut ulama fiqah, adalah tidak wajib menjawab salam ketika sedang membuang air di dalam tandas dan makruh memberi salam kepada seseorang yang sedang berada membuang air di dalam tandas (Rujukan).

Oleh itu, tidak perlu menjawab salam ketika berada di dalam tandas.

11. Membersihkan Tandas Selepas Digunakan

Amalan penjagaan kebersihan juga mencerminkan peribadi muslim sejati. Oleh itu, adalah menjadi satu adab membersihkan tandas selepas digunakan untuk digunakan oleh orang lain. Tidak kiralah tandas tersebut di rumah mahupun di pejabat atau tempat awam.

Islam menyukai kebersihan dan kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

12. Keluar dengan Kaki Kanan

Setelah selesai menunaikan hajat, maka berlangkahlah keluar dengan mendahului kaki kanan.

Ini selari dengan amalan junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang sentiaa mendahulukan kaki atau tangan kanan dalam apa saja perkara kebaikan seperti mana hadith daripada Saidatina Aishah r.a. yang bermaksud:

Nabi s.a.w menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya.

Riwayat al-Bukhari (168) (Rujukan)

13. Membaca Doa Keluar Tandas

غُفْرَانَكَ ، اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّى الأَذَى وَعَافَانِى

Maksudnya:Aku memohon ampun kepada-Mu. Segala puji bagi Allah yang menghilangkna bahayaku serta menyihatkan tubuh badanku.”


Akhir Kalam

Marilah kita bersama-sama menjaga adab masuk ke tandas dan keluar dari tandas. Sesungguhnya, kebanyakkan adab ini datangnya daripada amalan-amalan sunnah Rasulullah s.a.w.

Islam adalah agama yang lengkap dan agama yang mengambarkan cara hidup.

Wallahu a’lam

Write A Comment